Dalam kejadian kira-kira pukul 5 pagi itu, mangsa, Kyaw Saw Win ditinggalkan bersendirian bersama penyamun tersebut hingga menyebabkan pergelutan tersebut manakala rakan sekerja mangsa sempat melarikan diri melalui pintu belakang.

Pemangku Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Superintenden Sazalee Adam berkata, siasatan awal mendapati mangsa yang berusia dalam lingkungan 30-an dan seorang rakan sekerjanya sedang tidur dalam rumah yang masih dalam proses pembinaan sebelum didatangi tiga lelaki.

“Tiga lelaki tersebut telah menyamun mangsa dan rakannya itu. Selepas itu, rakannya berjaya melarikan diri manakala mangsa bergelut dengan tiga penyamun tersebut yang memiliki pisau.

“Akibat pergelutan tersebut, mangsa cedera pada bahagian belakang badan,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Menurut Sazalee, mangsa kemudian dibawa ke Hospital Sultan Abdul Halim, Sungai Petani oleh majikannya untuk mendapatkan rawatan dan kini masih ditahan di dalam wad.

“Siasatan awal mendapati mangsa mendakwa hilang sebuah telefon bimbit dan wang tunai sebanyak RM800 selepas disamun tiga lelaki berkenaan.

“Sehubungan itu, kita kini giat memburu tiga suspek tersebut bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 394 Kanun Keseksaan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE