Perintah tahanan reman terhadap remaja perempuan dan teman lelakinya berusia 15 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret Norhidayati Mohammad Nasroh di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Terdahulu, kedua-dua suspek yang masih bersekolah dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh itu direman selama enam hari yang berakhir hari ini.

Dalam kejadian pada pukul 12.18 tengah hari Ahad lalu, mayat, S. Sritharan, 16, yang dibalut plastik ditemukan dengan kesan kelar di leher dan kedua-dua pergelangan tangan di belakang sebuah rumah kosong di sebelah rumahnya di Taman Glenview Kamunting.

Mayat pelajar tingkatan empat itu dijumpai bapanya setelah dua hari dia dilaporkan hilang apabila tidak pulang ke rumah selepas ke sekolah Jumaat lalu.

Siasatan polis kemudiannya telah membawa kepada penangkapan kedua-dua suspek di mana seorang daripadanya adalah adik perempuan mangsa serta teman lelaki yang mengaku membunuh remaja itu.

Motif kejadian itu dipercayai berlaku gara-gara pertengkaran antara mangsa dan suspek lelaki, membabitkan telefon bimbit yang disimpan abang teman wanitanya.

Difahamkan, mangsa enggan memberikan semula telefon bimbit itu dan berlaku pergelutan antara mereka sehingga menyebabkan mangsa ditikam dengan menggunakan senjata tajam.-UTUSAN ONLINE