Bagaimanapun, penipuan mereka terbongkar selepas sepasukan polis Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Serdang menemukan wang berjumlah RM49,400 di rumah kedua-dua lelaki berusia lingkungan 30-an itu di Bandar Kinrara, Puchong dan Batu 9, Cheras, semalam.

Ketua Polis Serdang, Asisten Komisioner Ismadi Borhan berkata, suspek yang menjalankan perniagaan aksesori kereta membuat laporan polis kira-kira pukul 2.30 petang, Khamis lalu dan mendakwa kenderaannya dilanggar dua lelaki dari arah belakang.

Katanya, suspek turut mendakwa sebelum kejadian, dia telah mengeluarkan wang berjumlah RM160,000 di sebuah bank di Kinrara dan kesemua wang itu turut dilarikan penjenayah.

“Hasil siasatan awal mendapati suspek mengaku bersubahat dengan rakannya bertujuan menipu pekerja mereka bagi melangsaikan hutang peribadi kira-kira RM100,000.

“Kedua-dua suspek akan dibawa ke Mahkamah Petaling Jaya bagi mendapatkan reman dan siasatan lanjut diteruskan di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Ismadi, masyarakat diingatkan agar tidak membuat laporan polis palsu kerana tindakan itu merupakan perlakuan jenayah.

“Perbuatan ini bukan sahaja menyusahkan pihak polis malahan dilihat membazir duit rakyat akibat polis terpaksa menyiasat kes yang tidak berlaku,” katanya. - UTUSAN ONLINE