Kerani berusia 22 tahun itu membuat laporan polis keesokan harinya dan mendakwa peragut melarikan beg berisi wang tunai itu serta dua keping kad bank miliknya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, polis yang menjalankan siasatan kemudian mendapati terdapat keraguan dalam keterangan yang diberi.

Menurutnya, wanita kemudiannya mengaku kejadian ragut itu tak berlaku dan dia telah menggunakan wang sebanyak RM12,500 yang diberikan oleh majikannya untuk membayar syarikat pengawal keselamatan untuk kegunaan sendiri.

“Majikan wanita itu telah menyerahkan kepadanya wang tunai RM12, 500 pada 30 Julai lalu untuk membayar syarikat pengawal keselamatan bagi bulan Mei dan Jun.

“Dia bagaimanapun menggunakan wang itu untuk kegunaan sendiri selain meminjamkan sebahagiannya kepada rakan-rakan serta mendakwa tidak dibayar gaji sebanyak RM4, 000 sejak dua bulan lalu,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Nik Ros Azhan, suspek berhasrat untuk membayar semula wang yang diambil dan dia membuat laporan polis bagi meyakinkan ahli keluarganya bagi membolehkan dia meminjam wang mereka.

Jelasnya, suspek juga membawa polis ke rumahnya di Taman Mutiara dekat Sungai Petani dan menemukan baki RM2, 000 yang disimpan di dalam keretanya.

“Suspek kini ditahan reman selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE