Pengarah Maritim negeri, Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, bot itu dikesan sedang memukat dalam keadaan mencurigakan ketika rondaan oleh bot Maritim Malaysia negeri.

Tambahnya, hasil pemeriksaan mendapati seorang tekong lelaki warga tempatan berumur 50 tahun bersama dua kru warga asing masing-masing Myanmar berusia 34 tahun dan Vietnam (22 tahun) berada di atas bot tersebut.

"Mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menggunakan kru warga asing tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Jabatan Perikanan.

"Selain itu, mereka juga akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 kerana tinggal lebih masa," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Hamizan, bot itu serta tekong dan dua kru; dua unit pukat hanyut dan ikan campur seberat kira-kira 10 kilogram (kg) ditahan dan diiringi ke Jeti Polis Marin di Batu Uban di sini untuk siasatan dan tindakan lanjut.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan semua pengusaha bot nelayan tempatan supaya mematuhi undang-undang dan tidak melanggar syarat lesen bot yang telah ditetapkan oleh Jabatan Perikanan.

"Orang awam diminta bekerjasama melaporkan sebarang kejadian jenayah, kecemasan atau kemalangan di laut melalui talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 / 04-2643650," katanya. - UTUSAN ONLINE