Pengarah Maritim negeri, Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, bot yang dinaiki seorang tekong lelaki warga Thailand berumur 50 tahun bersama dua awak-awak lelaki senegara berumur 52 tahun ditahan menerusi Operasi Pertiwi.

Menurut beliau, bot itu dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8(b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan kurang 15 batu nautika dari daratan terhampir.

"Bot berkenaan bersama satu gulung pukat tunda, dua besi tunda dan hasil tangkapan 1,500 kilogram (kg) ikan campur dibawa ke Jeti Batu Uban untuk siasatan dan tindakan lanjut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut beliau, Maritim Malaysia memandang serius terhadap kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 terutama kesalahan yang melibatkan aktiviti menangkap ikan di luar dari zon yang ditetapkan oleh Jabatan Perikanan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan semua pengusaha bot supaya sentiasa mematuhi undang-undang lesen vesel dan menyeru komuniti maritim negeri ini bekerjasama dengan Maritim Malaysia.

"Mereka boleh menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang terutama pencerobohan kawasan zon menangkap ikan oleh bot pukat tunda yang sering menjadi rungutan nelayan pantai.

"Selain itu, orang ramai juga boleh melaporkan kejadian mencurigakan, kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146 / 04-2643650," katanya. - UTUSAN ONLINE