Pengarah Maritim negeri, Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, hasil pemeriksaan mendapati seorang tekong lelaki berumur 54 tahun bersama tiga awak-awak lelaki berusia antara 28 hingga 61 tahun yang kesemuanya warga Thailand berada di atas bot tersebut.

Menurut beliau, mereka dipercayai melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 (b) Akta Perikanan 1985 kerana melanggar syarat sah lesen iaitu menangkap ikan kurang 15 batu nautika dari pantai terdekat.

"Bot berkenaan bersama ikan campur dan ikan baja masing-masing seberat kira-kira 500 kilogram (kg) ditahan dan dibawa ke Jeti Limbungan Batu Maung di sini untuk siasatan serta tindakan lanjut," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Hamizan, pihaknya memandang serius terhadap kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 terutama kesalahan melibatkan aktiviti menangkap ikan di luar zon yang ditetapkan oleh Jabatan Perikanan.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan komuniti maritim negeri supaya bekerjasama dengan Maritim Malaysia dalam menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti menyalahi undang-undang terutama pencerobohan kawasan zon menangkap ikan oleh bot pukat tunda yang sering menjadi rungutan nelayan pantai.

"Orang awam diminta melaporkan sebarang kejadian kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Pulau Pinang di talian 04-2626146," katanya. - UTUSAN ONLINE