Pengarah Zon Maritim Kemaman, Komander Maritim Rashidilhadi Abd. Rashid berkata, bot nelayan yang dinaiki seorang tekong bersama enam awak-awak itu ditahan semasa kapal maritim KM Gemia membuat rondaan Op Iman di sekitar perairan Terengganu pada kira-kira pukul 9.25 pagi.

Katanya, bot nelayan asing itu ditahan kerana menceroboh dan menangkap ikan di perairan negara tanpa kebenaran.

"Pemeriksaan awal mendapati kesemua nelayan Vietnam yang berumur antara 22 hingga 51 tahun itu tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri.

"Keseluruhan barang rampasan termasuk bot dan peralatan yang dianggarkan bernilai RM400,000 dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman, Teluk Kalong untuk siasatan lanjut di bawah Akta Perikanan 1985 dan Akta Imigresen 1959," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Rashidilhadi berkata, kesemua tahanan direman selama 14 hari di Pusat Tahanan Maritim Malaysia Gambang, Kuantan, Pahang.

Katanya, Maritim Malaysia memandang serius isu pencerobohan nelayan asing dan akan mempertingkatkan lagi rondaan dan kawalan di Zon Maritim Malaysia bagi memastikan perairan negara sentiasa selamat dan terpelihara.

Beliau berkata, sepanjang tahun lalu sebanyak 88 tangkapan melibatkan pelbagai kesalahan telah direkodkan oleh Maritim Malaysia Terengganu dan tangkapan bot nelayan asing terbaharu ini merupakan yang pertama di negeri ini tahun ini.

"Orang ramai terutama komuniti maritim diminta segera menyalurkan maklumat sekiranya terdapat aktiviti pencerobohan nelayan asing di perairan negara.

"Sebarang aduan dan kecemasan di laut boleh di salurkan ke talian MERS 999 atau Pengkalan Maritim Kemaman, 09-8582825," ujarnya. - UTUSAN ONLINE