Pengarah Maritim Malaysia negeri, Kapten Maritim Hamizan Harun berkata, bot tersebut ditahan kira-kira pukul 8.30 pagi di kedudukan 1.2 kilometer dari barat Penaga di sini.

"Seorang tekong lelaki berusia 31 tahun bersama seorang awak-awak lelaki berusia 28 tahun yang merupakan warganegara tempatan berada di atas bot tersebut dan mereka sedang menarik alatan dipercayai bubu naga yang berukuran lebih kurang 200 meter.

"Hasil pemeriksaan lanjut turut mendapati bot berkenaan tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah dan bot tersebut disyaki melakukan kesalahan di bawah Akta Perikanan 1985 kerana menggunakan peralatan menangkap ikan tanpa suatu lesen yang sah," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, bot berkenaan ditahan bersama hasil tangkapan lebih kurang 10 kilogram ikan campur dan dibawa ke Jeti Pasukan Polis Marin Batu Uban untuk siasatan dan tindakan lanjut.

"Maritim Malaysia memandang serius kesalahan ini kerana penggunaan peralatan bubu naga secara haram ini boleh menjejaskan sumber perikanan kerana sifatnya yang tidak selektif selain turut memerangkap anak-anak ikan komersial.

"Orang awam diminta agar melaporkan sebarang kejadian mencurigakan, kecemasan atau kemalangan di laut di talian kecemasan 24 jam iaitu MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim negeri di talian 04-2626146," katanya. - UTUSAN ONLINE