Komander Pasukan Polis Marin Wilayah 1, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, bot dagang yang dinaiki empat kru warga Indonesia berusia antara 31 hingga 55 tahun itu ditahan kira-kira pukul 5 petang semalam.

Menurut beliau, bot itu yang membawa hasil pertanian kira-kira 13.85 tan bernilai RM265,945 itu ditahan menerusi Op Landai yang digerakkan pasukan berkenaan sejak empat hari lalu.

Tambahnya, antara barang yang cuba dibawa keluar itu termasuk rempah beriani dan rempah kari dan rempah ratus seperti kas-kas; kunyit; pelbagai jenis sos dan baja tumbuhan.

Jelasnya, bot bernilai kira-kira RM150,000 itu ditahan selepas cuba mengeksport keluaran pertanian tanpa permit yang sah daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis).

“Kita percaya pelbagai barangan ini cuba dibawa keluar ke Indonesia tanpa melalui pemeriksaan dan dokumen yang sah memandangkan barangan ini mendapat permintaan tinggi di negara berkenaan.

“Pasukan Polis Marin akan terus menjalankan penguatkuasaan sebegini pada masa depan dalam mengekang aktiviti penyeludupan termasuk senjata api, rokok dan dadah menerusi jalan laut di negeri ini,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Maqis negeri, Zarina Ramli berkata, bot tersebut melanggar kesalahan di bawah Seksyen 11 (2) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011 (Akta 728).

Katanya, mereka boleh dikenakan tindakan di bawah Seksyen 11 (3) akta sama yang jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi enam tahun atau kedua-duanya..

“Maqis sentiasa mengambil langkah serius bersama agensi penguatkuasaan di sempadan dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara.

“Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara,” katanya. - UTUSAN ONLINE