Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Datuk Hamdan Wahid berkata, antara negara terlibat adalah Malaysia, Indonesia, Thailand, Macau, Singapura, Hong Kong serta Filipina sebagai negara pemerhati.


Menurut beliau, program yang berlangsung selama dua hari itu turut melibatkan bengkel dan seminar mengenai modul berkaitan ilmu penyelamatan.


“Sebanyak 63 orang peserta akan terlibat dalam 10 cabaran yang dipertandingkan hari ini dan esok.


“Program ini juga dapat memberi pendedahan serta berkongsi maklumat tentang teknik-teknik penyelamatan terkini dan pengenalan kepada peralatan dan teknologi baharu,” katanya selepas merasmikan program MIREC 2019 di pusat beli-belah Velocity di sini hari ini.


Sementara itu, ketika ditanya berhubung pemberian elaun kritikal sebanyak RM200 sebulan yang dipohon pihak JBPM kepada kerajaan, beliau berharap ada pertimbangan dilakukan berhubung perkara itu.


“Perkara itu masih dalam proses pertimbangan. Saya percaya kerajaan baharu ini prihatin dengan keperluan anggota bomba sebagai tanda khidmat bakti anggota bomba yang bertugas di seluruh negara,” katanya.

Terdahulu, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Zuraida Kamaruddin memaklumkan pemberian elaun itu tidak dapat dilaksanakan tahun ini kerana perlu melalui beberapa prosedur serta bergantung kepada kedudukan semasa kewangan negara.- UTUSAN ONLINE