Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak, Tiong Ling Hii berkata, kaedah itu digunakan dengan mengepamkan air dari sebuah tasik berhampiran Universiti Curtin yang terletak tidak jauh dari kawasan hutan itu.

Katanya, selain itu, dua lagi strategi digunakan adalah bom air dengan menggunakan sebuah helikopter sebanyak 18 kali sehari dan ‘ground direct attack’.

“Keadaan terkini (sehingga 1 tengah hari) api sudah berkurangan, anggota bomba cuma perlu padam api gambut sahaja, kebakaran di kawasan hutan ini amat dalam kerana ia adalah kawasan tanah gambut.

“Kerja-kerja pemadaman juga dilakukan 24 jam melibatkan 15 anggota bomba dan penyelamat, lapan anggota unit udara bomba, dua petugas Jabatan Pengairan dan Saliran serta 30 kakitangan Syarikat Shin Yang yang bekerja dua syif.

Menurut Ling Hii, pihaknya perlu bertugas selama 24 jam kerana untuk mengelakkan kebakaran merebak pada waktu malam.

Katanya, kebakaran terbuka di kawasan Baram, Miri itu membabitkan keluasan anggaran 560 hektar dan terletak berdekatan dengan kediaman penduduk di Senadin, Universiti Curtin dan Sekolah Kebangsaan Kuala Baram II.- BERNAMA