Bertindak atas aduan awam, sepasukan pegawai dan anggota dari PPM bersama 13 orang pegawai daripada Jabatan Perikanan Kota Kinabalu telah melaksanakan satu Operasi Intra Agensi di sekitar kawasan pasar besar SAFMA di sini pada pukul 12.30 pagi semalam.



Komander PPM Wilayah 4 Sabah, Asisten Komisioner Mohamad Pajeri Ali berkata, operasi tersebut memberi tumpuan terhadap peniaga yang menjual ikan yang dipercayai hasil daripada aktiviti penangkapan ikan menggunakan bahan letupan.

“Operasi ini penting bagi menyekat rantaian penjualan dan permintaan terhadap ikan-ikan ini berdekatan SAFMA dan sekitarnya.

“Kita juga percaya bahawa sekiranya pihak PPM dapat mengesan dan menyekat rantaian penjualan dan permintaan terhadap ikan-ikan bom ini, nescaya individu yang melakukan aktiviti pengeboman ikan ini tidak dapat menjual ikan bom tersebut di pasaran dan seterusnya aktiviti pengeboman ikan dapat dibendung pada peringkat awalnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mohamad Pajeri memberitahu, untuk membanteras aktiviti berkenaan, peniaga ikan seharusnya berniaga secara jujur dan hendaklah mengetahui sumber ikan tersebut diperoleh supaya pembeli dapat menikmati ikan yang segar dan tidak tercemar.

“Orang ramai mempunyai sebarang maklumat berkenaan aktiviti pengeboman ikan dan penjualan ikan yang dibom, boleh salurkan maklumat kepada balai polis yang terdekat,” ujarnya.

Jelas Mohamad Pajeri. sepanjang operasi tersebut, sebanyak 21 buah meja peniaga ikan di Pasar Ikan SAFMA Kota Kinabalu telah diperiksa. Pemeriksaan secara terperinci telah dilakukan sendiri oleh pegawai perikanan bagi mengenalpasti ikan-ikan hasil daripada aktiviti pengeboman yang dijual kepada orang awam. - UTUSAN ONLINE