Timbalan Ketua Polis negeri, Datuk Sun Teoh Tia berkata, orang ramai perlu memberikan ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan lanjut mengenai kejadian yang berlaku itu.

"Laporan mengenai kematian mangsa dibuat oleh Hospital Daerah Tampin, Negeri Sembilan di Balai Polis Pulau Sebang dan setakat ini kes tersebut diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

"Justeru, orang ramai tidak perlu menyebarkan maklumat sebegini di mana-mana media sosial, sebaliknya memberi ruang kepada polis menyiasatnya," katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Uniform Kor Kadet Polis di Auditorium Ibu pejabat Polis Kontinjen Melaka di Bukit Beruang di sini sebentar tadi.

Berita mengenai kematian gadis berusia 20 tahun itu tular dalam laman sosial dan mangsa didakwa mengalami kecederaan selepas tercampak keluar dari gelongsor di sebuah taman tema air pada Sabtu lalu.

Mangsa dilaporkan meninggal dunia kira-kira pukul 3.15 pagi pada Isnin lalu ketika menerima rawatan di hospital. - UTUSAN ONLINE