Pergaduhan itu dikatakan berpunca daripada ketidakpuasan hati seorang lelaki yang dikenali sebagai Jai ke atas pemilik gerai berkenaan yang telah mengambil kunci motosikal milik anak lelakinya.

Difahamkan, tindakan pemilik gerai atau Pak Su itu adalah kerana perlakuan anak Jai yang membuat bising dengan memulas pendikit minyak motosikal di hadapan gerainya.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Razali Ibrahim berkata, pihak polis menerima maklumat mengenai kejadian pergaduhan tersebut pada pukul 8.35 malam.

Katanya, siasatan mendapati pergaduhan melibatkan lebih lima individu itu berpunca daripada isu kunci motosikal anak lelaki Jai yang dirampas oleh Pak Su.

"Lelaki berusia 47 tahun itu datang ke gerai tersebut untuk menuntut semula kunci motosikal berkenaan namun berlaku pergaduhan antara mereka apabila Pak Su bertindak memukul kepada Jai menggunakan objek keras hingga cedera.

"Keadaan itu menyebabkan berlaku tindak balas orang ramai di lokasi kejadian apabila ada antara mereka yang memukul kepala anak lelaki Pak Su dikenali sebagai Abang Yang berusia 23 tahun di kepala," katanya di sini hari ini.

Menurut Razali, kedua-dua lelaki yang cedera di kepala ekoran dipukul dengan kayu itu mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Kangsar.

Ujar beliau, pihaknya telah menahan Pak Su yang berusia 48 tahun dan Jai untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan kerana merusuh.

"Pemeriksaan ke atas kedua-dua mereka mendapati mempunyai rekod lampau bersabit kes dadah selain samun dan melakukan pencerobohan jenayah," katanya. - UTUSAN ONLINE