Memetik laporan portal Detikcom, anak kepada Allahyarham Azean Irdawaty itu diberkas setelah dua peket syabu berjaya dikeluarkan dari duburnya oleh pasukan keselamatan selepas dia mendarat di Lapangan Terbang Kualanamu, Medan.

Menurut Ketua Pengawasan dan Pelayanan Kastam dan Cukai Lapangan Terbang Kualanamu, Zaky Firmansayah, Benjy, 38, tiba di lapangan terbang berkenaan menggunakan pesawat Malindo Air dari Kuala Lumpur untuk bertemu rakannya.

“Setelah dilakukan pemeriksaan, ditemukan dua bungkus syabu seberat 14 gram yang di­sembunyikan di duburnya.

“Suspek mengaku membeli syabu daripada seseorang di Kuala Lumpur. Suspek juga pernah didakwa kerana kes sama (dadah) di Malaysia sebanyak empat kali sekitar 2015,” ujarnya.

Laporan berkenaan turut menyebut, Benjy kini ditahan untuk siasatan di sebuah balai polis di sana.

Kesalahan yang dilakukan aktor berkenaan boleh menyebabkan dia berdepan dengan hukuman mati.

Sementara itu, Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata, sehingga kini pihaknya belum mendapat sebarang maklumat rasmi daripada pihak berkuasa negara itu berhubung penahanan itu.

Bagaimanapun, beliau berkata, pihak Konsul Jeneral Malaysia di Medan telah mengenal pasti bahawa suspek yang dimaksudkan ialah Benjy.

“Pada masa ini, pihak kami akan memberi bantuan yang sewajarnya untuk dia (Benjy). Selebihnya, saya akan menunggu laporan rasmi yang akan dikemukakan sebelum bantuan-bantuan lain disalurkan pada keluarga Benjy,” kata Zahrain kepada Utusan Malaysia ketika dihubungi.