Tertuduh, Mohd. Nasli Mohd. Nasir, 33, membuat pengakuan tidak bersalah itu dan meminta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azman Mustapha.

Mengikut pertuduhan, Mohd. Nasli didakwa mencederakan ibu jari kanan Mohd. Zamri sehingga kudung dengan menggunakan sebilah parang panjang dalam kejadian di hadapan sebuah rumah di Taman Cordova Residence, Padang Luas, Besut pukul 12.30 tengahari 15 Ogos lalu.

Mohd. Nasli dituduh mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda atau sebat jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Wan Mohd. Izzat Wan Abdullah manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd. Kamaruzaman A. Wahab.

Mohd. Kamaruzaman memohon mahkamah supaya Mohd. Nasli dihantar menjalani pemeriksaan mental kerana tertuduh mempunyai rekod menghidap penyakit tersebut sebelum ini.

Beliau berkata, Mohd. Nasli pernah menerima rawatan psikiatri di Hospital Raja Perempuan Zainab II, Kota Bahru, Kelantan pada tahun 2012 namun tidak pernah mendapatkan rawatan lanjutan selepas itu.

Terdahulu, Wan Mohd. Izzat memberitahu mahkamah bahawa pihak pendakwaan tidak menawarkan jaminan atas faktor keselamatan mangsa dan keluarganya yang juga jiran tertuduh selain kes tersebut mendapat perhatian ramai.

Hakim Azman tidak membenarkan permohonan Mohd. Kamaruzaman berhubung pemeriksaan mental kerana kes berkenaan akan dipindahkan ke Mahkamah Sesyen Besut yang akan mula beroperasi minggu depan dan beliau menetapkan 11 September ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini media menyiarkan berita mengenai Mohd. Zamri yang cedera parah akibat ditetak dengan parang oleh jirannya di hadapan rumah di Taman Cordova Residence, Padang Luas, Besut. - UTUSAN ONLINE