PUTRAJAYA 12 Julai - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan reman seorang bekas pegawai khas kepada isteri bekas Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor sejak kelmarin bagi membantu siasatan kes penyelewengan pemasangan panel tenaga solar sekolah di Sarawak.
Difahamkan, pegawai khas berkenaan telah ditahan Isnin lalu selepas memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM di sini.
Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Simi Abdul Ghani ketika dihubungi pemberita hari ini telah mengesahkan penahanan individu yang berusia 44 tahun itu.
Individu berkenaan ditahan reman selama empat hari sehingga esok.
Projek pemasangan panel tenaga solar di 369 sekolah di Sarawak yang bernilai RM1.25 bilion sedang disiasat oleh SPRM berikutan pelaksanaan projek berkenaan tidak melalui tender terbuka Kementerian Pendidikan sebaliknya diberikan secara terus kepada sebuah syarikat sewaan kereta di Bintulu, Sarawak. - UTUSAN ONLINE