Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Abdul Aziz Ali berkata, mangsa, Khalidah Mohd. Darus yang merupakan bekas Ketua Pengarah Jabatan Perlindungan Data Peribadi (JPDP), Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKM) disyaki diserang oleh suspek tersebut berdasarkan kesan-kesan yang ditemui.

“Kejadian ini dimaklumkan kepada pihak polis oleh anak sulungnya kira-kira pukul 8 malam.

“Mangsa disyaki diserang oleh suspek berdasarkan terdapat kesan pergelutan di dinding pintu masuk ke rumah dan kesan darah di bahagian dalam tepi sofa di ruang tamu. Mangsa kemudian dipercayai diheret ke bilik tidur bersebelahan dapur,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut Abdul Aziz,  pemeriksaan polis menemui kesan lebam pada bahagian kedua belah tangan dan perut, gigi patah dan bibir lebam serta berdarah kesan daripada hentakkan kuat. 

Katanya, siasatan juga mengesyaki suspek menggunakan mop untuk mengelap kesan darah di lantai berdasarkan kesan titisan air bercampur darah dari bahagian dapur ke bilik serta di ruang tamu.

Abdul Aziz berkata, susulan kejadian itu, pihak polis telah menahan suspek yang berumur lingkungan 20-an di tempat kejadian bagi membantu siasatan dan merampas mop serta kain basah yang digunakan suspek untuk membersihkan kesan darah pada lantai. - UTUSAN ONLINE