Suspek berusia 43 tahun itu dipercayai memiliki syarikat kon­sultan tersebut, ditahan di pe­ja­batnya di Petaling Jaya, Selangor sebelum dibawa ke pejabat SPRM negeri pada pukul 3.50 awal pagi ini.

Pengarah SPRM Perak, Datuk Zainul Darus berkata, berdasarkan aduan dan maklumat diterima daripada kerajaan negeri, pihak­nya telah melakukan siasatan dan membuat beberapa penggeladahan di beberapa buah lokasi semalam.

Beliau berkata, antara premis tersebut termasuklah pejabat Peka, pejabat Setiausaha Kerajaan Ne­geri, Bangunan Institut Darul Ridzuan, Pusat Transfomasi Bandar (UTC) Ipoh serta pejabat syarikat konsultan berkenaan yang disyaki terlibat.

Menurut beliau, turut dirampas invois tuntutan, baucar-baucar bayaran, surat-surat yang berkaitan, serta dokumen dan surat perjanjian.

“Tuntutan palsu itu meliputi bayaran bulanan perkhidmatan konsultan berjumlah kira-kira RM8 juta bagi tempoh lima tahun, sewaan premis, bil utiliti dan lain-lain bayaran (RM1.14 juta) serta tuntutan ke atas program yang gagal dilaksanakan (RM40,000).

“Sehubungan itu, suspek ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 kerana membuat tuntutan palsu. Siasatan lanjut akan diteruskan bagi mengenal pasti segala butiran daripada dokumen yang dirampas,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Zainul berkata, pihaknya menjangkakan akan memanggil seramai kira-kira 30 saksi bagi memberikan keterangan untuk membantu siasatan berhubung kes tersebut termasuk Lembaga Pengarahnya yang mengetahui tentang perjalanan syarikat.

Terdahulu, di Mahkamah Majistret di sini hari ini, Majistret Siti Hafiza Jaafar membenarkan permohonan reman terhadap suspek bermula semalam sehingga 9 Ogos depan bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan yang melibatkan agensi milik penuh kerajaan negeri itu.

Menteri Besar, Ahmad Faizal Azumu dalam satu kenyataannya pula berkata, kerajaan negeri akan memberikan kerjasama serta menyerahkan sepenuhnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan terhadap agensi itu yang ditubuhkan pada 2011.

Menurut beliau, pihaknya me­mandang serius dakwaan penye­lewengan tersebut kerana membabitkan ketirisan jutaan ringgit di bawah pengurusan pentadbiran kerajaan terdahulu.

“Sekiranya terdapat bukti kukuh berlakunya penyelewengan seper­ti didakwa, maka pihak terbabit perlu di hadapkan ke mahkamah untuk berdepan tindakan undang-undang,” katanya.