Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan A. A. Anbalagan berkata, suspek berusia 35 tahun yang kini bertugas sebagai pengawal keselamatan itu ditahan kelmarin di rumahnya di Taman Delima, Jalan Baiduri, Sungai Petani Kedah oleh sepasukan anggota polis dari Ibu Pejabat Polis (IPD) Barat Daya kira-kira pukul 2 pagi.

"Tangkapan ke atas suspek dilakukan susulan laporan polis dibuat oleh seorang pengurus operasi sebuah syarikat keselamatan yang menjumpai 10 butir peluru bersama gari dalam plastik di dalam beg pakaian milik suspek di asrama pekerja syarikat berkenaan yang terletak di Bayan Lepas.

"Pada ketika itu pengurus berkenaan mahu menemui suspek untuk menjalankan pemeriksaan di rumah tersebut yang dijadikan asrama pekerja namun suspek tidak ada di lokasi tersebut," katanya di sini hari ini.

Menurut Anbalagan siasatan pihak polis mendapati suspek mengambil peluru berkenaan tanpa pengetahuan pihak polis semasa berkhidmat di Cawangan Latihan Ibu Pejabat Polis Ampang Jaya pada 2014.

"Suspek memaklumkan bahawa dia mahu memulangkan peluru dan gari ini semula namun terlupa untuk berbuat demikian.

"Suspek menyertai pasukan polis pada 2004 sebelum menamatkan perkhidmatannya pada 2016," katanya.

Anbalagan berkata, suspek kini ditahan reman dan akan dituduh di Mahkamah Balik Pulau, esok. - UTUSAN ONLINE