Ibu Muhammad Zaheen Affan Mohamad Zulkarnain yang mahu dikenali sebagai Akma, 28, berkata, dia tidak sanggup melihat keadaan tangan anaknya yang membengkak dari lengan hingga pergelangan tangan dan akan menangis dengan kuat setiap kali disentuh bahagian itu.

“Saya tidak tahu bagaimana untuk gambarkan perasaan ini, luluh hati kami melihat keadaan Muhammad Zaheen.

“Saya dan suami serahkan kepada pihak polis menyiasat dan jika benar ada unsur penderaan, kami berharap tindakan sewajarnya dapat diambil,” katanya ketika ditemui di Hospital Seri Manjung di sini hari ini.

Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, pengasuh berusia 46 tahun itu direman selama empat hari bermula hari ini untuk siasatan lanjut.

“Kejadian itu disedari semasa mangsa diambil dari rumah pe­ngasuh di Persiaran Iskandar Perdana, Seri Iskandar semalam.

“Pengasuh pada awalnya memaklumkan Muhammad Zaheen tidak sihat namun semasa ditanya mengenai tangan bayi terbabit, suami wanita itu membe­ritahu kemungkinan terseliuh,” katanya.

Menurut Mohamad Zainal, bapa mangsa kemudian membawa bayinya ke klinik sebelum dirujuk ke Hospital Changkat Me­lintang dan pemeriksaan men­dapati terdapat kesan patah di bahagian lengan.

Ujarnya, bayi itu kemudian dihantar ke Hospital Seri Manjung untuk pemeriksaan pakar tulang dan doktor mengesahkan tangan mangsa terdapat kesan dipulas hingga menyebabkan lengan mangsa patah.

“Siasatan awal mendapati wanita tersebut sebelum ini meng­asuh empat kanak-kanak dan kini hanya menjaga bayi itu dan seorang lagi bayi lelaki berusia 10 bulan.

“Siasatan terhadap pengasuh yang baharu sebulan menjaga mangsa dibuat mengikut Seksyen 325 Kanun Keseksaan dan Sek­syen 31(1) Akta Kanak Kanak 2001,” katanya.