Selepas beberapa hari berada dalam keadaan tidak bermaya, bayi perempuan berkenaan disahkan meninggal dunia pada pukul 3.24 petang semalam.

Ketua Polis negeri, Datuk Noor Mushar Mohd. memberitahu, hasil siasatan, mangsa dikatakan ditampar oleh bapanya itu yang berusia 44 tahun ketika lelaki berkenaan melepaskan rasa marah selepas bergaduh dengan isterinya kira-kira pukul 2 petang dalam kejadian pada Sabtu lalu.

Katanya, berikutan itu, wanita tersebut pada Isnin lalu, telah membawa mangsa dan empat lagi anaknya berusia tujuh sehingga dua tahun ke rumah pengadu di Arau kerana bimbang suaminya yang dikatakan mempunyai masalah mental itu mengulangi perbuatan sama

“Tiada sebarang kesan atau tanda kecederaan luaran pada tubuh badan mangsa dan tidak ada sebarang senjata digunakan dalam kejadian ini.

Sebelum ini, suspek pernah beberapa kali mendapat rawatan sakit mental di Hospital Tuanku Fauziah (HTF) di sini.

“Suspek warga tempatan berkahwin dengan isterinya warga Thailand itu pada 2011. Mangsa tidak dibawa ke hospital untuk rawatan selepas dipukul itu adalah kerana bayi tersebut tidak mempunyai sebarang dokumen yang sah,” katanya di sini hari ini.

Tambah Noor Mushar, berikutan kejadian itu, suspek telah ditahan pihak polis dan perintah reman terhadapnya akan dikeluarkan pagi ini.

Katanya, mayat mangsa dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah untuk proses bedah siasat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.- UTUSAN ONLINE