Dalam kejadian pada ‪pukul 2.30‬ petang, kedua-dua suspek berusia 28 dan 39 tahun ditahan sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Berat (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kelantan dan Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem).

Ketua Polis negeri, Datuk Hasanuddin Hassan berkata, sebelum itu, pasukan tersebut sedang melakukan rondaan cegah jenayah di kawasan Kampung Pusu 40 dan melihat sebuah Toyota Wish dipandu laju dan mencurigakan.

“Apabila tiba di lampu isyarat persimpangan Lubok Jong, anggota kita meminta pemandu memberhentikan kenderaan namun dia bertindak memecut laju.

“Selepas mengejar mereka, berlaku pelanggaran kereta dinaiki suspek dengan sebuah kenderaan dan mereka akhirnya berjaya ditahan,” katanya dalam sidang akhbar, di sini hari ini.

Hasanuddin berkata, hasil pemeriksaan di dalam kenderaan itu membawa kepada penemuan 33 bungkusan plastik hitam mengandungi daun ketum seberat 487 kilogram serta bungkusan lutsinar mengandungi 4,040 biji pil kuda dengan nilai keseluruhan RM95,410.

“Bagi kes pil kuda, dua suspek yang berasal dari Pasir Mas disiasat mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan bagi kes ketum mereka disiasat mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952,” katanya.

Beliau menambah, kedua-dua suspek yang positif dadah jenis methamphetamine dan masing-masing mempunyai empat serta enam rekod lampau jenayah serta dadah telah direman selama tujuh hari sehingga ‪18 Januari‬ depan. - UTUSAN ONLINE