Dalam kejadian pada pukul 9 malam itu, mangsa berusia 13 tahun dikatakan dibawa oleh bapa saudaranya ke fasa empat Changkat Lada kononnya untuk mengambil senarai nama katering.

Bagaimanapun, lelaki berusia 27 tahun itu telah membawa anak saudaranya itu ke sebuah rumah kosong sebelum bertindak menanggalkan seluar mangsa dan mencabulnya di sana.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintenden Mohamad Zainal Abdullah berkata, suspek juga meraba seluruh badan mangsa dan memasukkan jarinya ke dalam kemaluan remaja itu sebanyak tiga kali.

Katanya, perbuatan suspek tidak terhenti setakat itu apabila dia cuba mengulangi perkara sama keesokkan harinya namun gagal apabila mangsa berjaya melarikan diri dan membuat laporan polis.

“Mangsa dijaga oleh ibunya setelah kematian bapanya dan lelaki terbabit tinggal bersama mereka. Tangkapan telah dilakukan terhadap suspek pada pukul 9.15 malam, semalam di rumah mereka.

“Siasatan mendapati suspek mempunyai rekod lampau bersabit kes dadah dan lelaki itu direman tujuh hari untuk siasatan mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya. - UTUSAN ONLINE