Bagaimanapun taktik peragut berkenaan yang berusia kira-kira 30-an gagal apabila lelaki tersebut tetap dengan pendirian untuk memanggil pihak berkuasa bagi menahannya.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Saifi Abdul Hamid berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 5 petang apabila lelaki berkenaan meragut mangsa yang membeli buah di tepi jalan berhampiran pasar raya besar Tesco, Legenda Heights.

"Peragut itu yang menaiki motosikal kemudiannya dikejar oleh bapa mangsa sehingga ke stesen minyak tersebut. Dia kemudiannya masuk ke dalam tandas bagi menyembunyikan diri.

"Cubaannya itu bagaimanapun gagal apabila berjaya ditemukan oleh bapa mangsa yang kemudiannya menangkap dan menghubungi pihak polis bagi mengambil tindakan terhadap suspek," katanya ketika dihubungi Utusan Online, di sini hari ini.

Sementara itu di laman sosial, tular klip video memaparkan peragut berkenaan berkali-kali merayu supaya tiada tindakan diambil terhadapnya.

Sambil meminta maaf berkali-kali, peragut itu memohon supaya pihak polis tidak dipanggil dengan memberi alasan ini kali pertama dia meragut selain mendakwa dirinya susah.

Bapa mangsa walaupun kelihatan tenang dan bijak mengawal emosi, tetap berkeras untuk mengambil tindakan terhadap suspek. - UTUSAN ONLINE