Operasi itu digerakkan sekumpulan anggota polis daerah Timur Laut bermula pukul 6.30 pagi hingga 11 pagi selepas menerima aduan awam berhubung aktiviti penagihan dadah yang semakin berleluasa di sekitar kawasan tersebut.

Menurut Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Che Zaimani Che Awang, menerusi Op Tapis Khas itu, pihaknya berjaya menahan seramai 14 penagih termasuk dua wanita berusia antara 13 hingga 56 tahun.

Jelas beliau, kesemua yang ditahan didapati positi dadah jenis methamphetamine dan morfin malah polis turut merampas dadah jenis heroin dan syabu daripada beberapa suspek ketika operasi tersebut.

“Turut berjaya ditangkap adalah dalang yang menjual dadah kepada penagih-penagih tersebut dan mereka disiasat kerana melakukan beberapa kesalahan di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Che Zaimani, pihaknya akan melakukan operasi itu secara berterusan dan agresif khususnya di sekitar Jalan Masjid Kapitan Keling memandangkan kawasan tersebut merupakan antara lokasi popular pelancong asing.

Sehubungan itu, beliau mengharapkan kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat mengenai sebarang kegiatan pengedaran dan penagihan dadah atau aktiviti jenayah lain kepada pihak berkuasa. - UTUSAN ONLINE