TAN SRI MOHAMAD FUZI HARUN
TAN SRI MOHAMAD FUZI HARUN

Dua daripada mereka ditahan dalam serbuan pada ming­gu lalu sementara empat lagi minggu ini.

Angka tersebut menjadikan jumlah dalang judi yang ditahan selepas pasukan khas itu ditubuhkan bagi membanteras sindiket judi haram sejak 27 September lalu kepada 11 orang setakat ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun berkata, ke­semua mereka kini ditahan di bawah Seksyen 3 (1) Akta Pencegahan Jenayah (POCA) bagi membantu pihak polis menjalankan siasatan lanjut.

Menurut beliau, pihaknya bagai­manapun tidak dapat mendedahkan maklumat terperinci mengenai lokasi serbuan dan tangkapan yang dibuat kerana bimbang akan mengganggu usaha memberkas dalang-dalang lain yang masih bebas.

“Apa yang saya boleh katakan, kita akan terus memburu dalang-dalang judi ini bagi memastikan ke­giatan judi ha­ram di negara ini dihapuskan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Pada 1 November lalu, PDRM yang menubuhkan pasukan khas mula bertindak agresif dalam membanteras sindiket perjudian haram de­ngan menahan kira-kira lima dalang utama kegiatan tersebut di Selangor.

Dalam pada itu, ketika di­tanya mengenai usaha mengesan dalang-dalang yang telah melarikan diri ke luar negara, Mohamad Fuzi menjelaskan, pihaknya akan memberkas dalang-dalang judi itu kerana telah mengetahui lokasi persembunyian mereka.

“Kami tahu pergerakan mereka dan di mana mereka berada tapi kami tidak boleh dedahkan di negara mana dalang-dalang ini melarikan diri. Polis ada cara untuk memberkas dalang-dalang terbabit,” ujarnya

Sementara itu, Mohamad Fuzi memberitahu, operasi dan tangkapan yang dibuat menunjukkan perkembangan positif apabila banyak premis judi haram di seluruh negara telah ditutup.

Bagaimanapun ujar beliau, pihaknya menyedari kegiatan itu masih berjalan dengan pelbagai modus operandi baharu dan tidak lagi beroperasi di premis.

“Mereka kini menggunakan tablet untuk berjudi. Namun kita akan tetap ambil tindakan dan tidak akan membiarkan mereka terus beroperasi.

“Saya juga minta kerjasama orang ramai untuk membuat laporan kepada pihak polis jika mempunyai maklumat mengenai sebarang kegiatan judi haram agar tindakan dapat diambil,” katanya,” tegasnya.