Beliau yang juga Menteri Dalam Negeri berkata, arahan membabitkan Jabatan Sisatan Jenayah Narkotik (JSJN), Ibu Pejabat Bukit Aman dan polis Kelantan itu dikeluarkan ekoran kebimbangan serta keprihatinannya terhadap gejala penagihan pil tersebut.

Malah, beliau turut menetapkan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan terhadap usaha yang diambil oleh kontinjennya dalam menangani masalah tersebut.

‘‘Saya telah beberapa kali memberi keprihatinan terhadap masalah penyeludupan, penggunaan dan pengedaran pil kuda dari negara jiran (Thailand) ke Kelantan, malah ia (pengedaran pil kuda) menular sehingga ke Terengganu dan Pahang.

‘‘Justeru, saya telah mengarahkan JSJN (Bukit Aman) agar be­ker­jasama dengan kerajaan nege­ri melalui Ketua Polis Kelantan bagi membanteras masalah ini,’’ katanya dalam sidang akhbar sebelum berlepas pulang ke ibu negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching di sini, hari ini.

Pada 5 Jun lalu, Ahmad Zahid memaklumkan kerajaan Kelantan bersetuju untuk bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan dalam menangani masalah penyalahgunaan dadah di negeri itu terutama membabitkan pil kuda.

Dalam perbincangan bersama Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob, beliau memberitahu, pihaknya akan menggunakan pendekatan inabah (agama) dan kerajaan negeri sudah bersetuju menyediakan sebuah pusat pemulihan bagi penagih dadah dan ia adalah program bersama antara kerajaan negeri serta Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, usaha menangani masalah penyeludupan pil kuda bukan hanya tanggungjawab kerajaan Pusat dan negeri sahaja tetapi melibatkan agensi lain seperti AADK, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan rakyat keseluruhannya.

Justeru, ujar beliau, satu ko­­labo­rasi telah terjalin antara kerajaan Pusat dan negeri untuk menangani masalah tersebut melalui beberapa pendekatan yang disusun bersama sebelum ini.

Katanya, beliau juga telah berbincang dengan Majlis Kese­lamatan Negara untuk membina tembok kekal di sempadan Thailand-Kelantan dan menguatkuasakan pemeriksaan terhadap aktiviti di perairan Sungai Golok bagi menyekat kemasukan serta penyeludupan pil kuda.

‘‘Saya juga sudah mengadakan perbincangan dengan Timbalan Perdana Menteri Thailand, Jeneral Prawit Wongsuwan mengenai langkah jangka panjang untuk diambil bagi menangani masalah berkenaan.

‘‘Kita turut menyusun beberapa program strategi melalui Jawatankuasa Am Sempadan (GBC) bersama Kementerian Pertahanan dan beberapa jawatankuasa kecil yang lain bagi menentukan pelaksanaan untuk menyekat penyeludupan pil kuda ke Malaysia,’’ katanya.

Selain itu, katanya, perbincan­g­an dengan pihak keselamatan berkaitan dan kerajaan Kelantan mengenai cadangan memindahkan penduduk di sempadan Sungai Golok bagi mengatasi masalah penyeludupan barangan juga akan diadakan.