Suspek yang berusia 25 tahun ditangkap pukul 8.45 malam, tidak sampai 24 jam selepas dia melarikan diri ketika bekerja di Kelab Golf Tiara Ayer Keroh, kira-kira pukul 12.50 tengah hari semalam.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata, suspek berjaya ditangkap di kawasan padang Kelab Golf Ayer Keroh, kira-kira 150 meter dari tempat dia melarikan diri.

“Banduan itu ditahan di Penjara Dusun Dato Murad tetapi sedang di bawah program Banduan Kemahiran Luar Penjara dan dibenarkan bekerja di kelab golf berkenaan selama empat jam dari pukul 8 pagi selepas memenuhi kriteria berkelakuan baik dalam penjara.

“Pihak penjara bagaimanapun menerima panggilan tengah hari semalam memaklumkan suspek telah melarikan diri ke arah hutan di belakang Kelab Golf Tiara,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Katanya, ketika kejadian suspek bersama sembilan lagi banduan dikawal oleh dua anggota Jabatan Penjara.

Beliau memberitahu, suspek dijatuhi hukuman penjara lima tahun sejak tahun 2016 mengikut Seksyen 304(b) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat dan hanya mempunyai baki tahanan selama dua bulan sebelum dibebaskan.

Berikutan kejadian itu, suspek kini ditahan dan disiasat mengikut Seksyen 223 dan 224 Kanun Keseksaan, katanya. - UTUSAN ONLINE