Dalam serbuan pukul 11.30 malam itu, PGA Batalion 9 Kuala Terengganu turut menyita sebuah lori dan kereta yang digunakan untuk kegiatan haram tersebut.

Pengarah Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) negeri, Mohd Azam Yahya berkata, kejayaan itu merupakan rampasan ayam sejuk beku pertama sepanjang bulan ini.

Menurutnya, Maqis akan terus menjalinkan kerjasama dengan seluruh agensi penguatkuasaan sempadan dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan.

"Maqis sama sekali tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan perkara menyalahi peraturan negara.

"Maqis mengambil langkah serius dalam isu melibatkan keselamatan makanan, kawalan penyakit dan risiko kemasukan perosak yang boleh mengancam industri pertanian negara," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Mohd. Azam memberitahu, aktiviti menyeludup ayam sejuk beku merupakan satu kesalahan di bawah Seksyen 11(1) Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011.

Katanya, jika disabit kesalahan, boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) dalam akta yang sama iaitu didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 6 tahun atau kedua-duanya sekali.

 

"Selain itu, kesalahan ini juga boleh dikenakan tindakan kompaun di bawah Peraturan-peraturan Kuarantin dan Pemeriksaan (Perkompaunan Kesalahan 2019) sehingga RM50,000.00.

"Tindakan penguatkuasaan undang-undang akan terus diperkasa bagi memastikan kawalan penyakit haiwan, ikan, tumbuhan dan jaminan keselamatan makanan terpelihara," ujarnya. - UTUSAN ONLINE