Modus operandi suspek begitu mudah iaitu menuntut bayaran yang kononnya belum dilunaskan kedai dengan hanya menunjukkan sekeping resit palsu.

Bagi memastikan tembelangnya tidak pecah, dia akan bertanya kepada pekerja sama ada majikan ada di kedai atau tidak terlebih dahulu sebelum memperdaya pekerja tersebut.

Terbaharu, seorang peniaga kosmetik dan cadar di Kampung Bunohan, di sini kerugian melibatkan wang tunai RM200 ditipu suspek, semalam.

Peniaga berkenaan, Noradila Mamat, 33, ketika ditemui berkata, kira-kira pukul 4 petang semalam, seorang lelaki masuk ke kedainya dalam keadaan tergesa-gesa.

"Dia bertanyakan tauke ada atau tidak, selepas saya kata tidak ada, dia terus keluarkan resit pembelian tunai barangan kosmetik dan meminta saya membuat pembayaran yang belum lunas.

"Lelaki itu memberitahu dia telah sudah menyerahkan barang pembelian kepada pemilik kedai yang merupakan adik saya sendiri," katanya.

Tambahnya, dia segera bertanyakan perkara tersebut kepada adiknya dengan cara menghantar mesej namun tidak dibalas.

"Dalam masa sama, lelaki itu berpura-pura dapat bercakap dengan adik saya dan memberitahu adik sudah berpesan supaya mengambil duit di kedai.

"Selepas menerima RM200, dia segera keluar dengan menunggang motosikal Modenass Kriss hitam. Saya menelefon adik saya tetapi dia memberitahu tidak pernah membeli apa-apa barangan daripada pembekal," katanya.

Sebelum itu, kes hampir sama telah tular di media sosial apabila ada peniaga kerugian wang akibat terpedaya dengan resit palsu. Jenis dan tulisan tangan di atas resit itu didapati sama dengan kes di Kampung Bunohan.

Difahamkan, suspek cuba memperdaya seorang peniaga lain di Bunut Susu, Pasir Mas tetapi gagal.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah, Supritendan Ab. Rashid Mat Daud mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kes peniaga ditipu di Kampung Bunohan dan siasatan lanjut sedang dilakukan bagi mengesan suspek. - UTUSAN ONLINE