Namun sedar atau tidak, permintaan tinggi terhadap peranti tersebut telah mewujudkan sindiket yang menjalankan kegiatan penyeludupan telefon pintar, tablet dan juga komputer riba semata-mata untuk mengaut keuntungan besar.

Senario itu bukan sahaja menjejaskan pendapatan negara tetapi juga menyebabkan ramai pengguna tertipu ekoran membeli set bukan tulen yang berisiko terutamanya jika berlaku kerosakan.

Ikuti laporan khas wartawan Mingguan Malaysia, MUHAMAD AMIRUL AFIQ MASTOR dan ZULHILMI ZAINAL yang mendedahkan modus operandi kegiatan sindiket penyeludupan gajet ke negara ini.
 

KUALA LUMPUR 6 Okt. -  Sindiket bermaharajalela keluar masuk ke negara jiran secara bebas tanpa dokumen yang sah termasuk pasport dan mereka juga menyeludup masuk gajet-gajet bernilai jutaan ringgit tanpa sebarang sekatan.

Itulah kekebalan kumpulan sindiket terbabit yang disyaki mempunyai ‘lesen besar’ untuk membawa masuk telefon pintar dan komputer riba dari negara jiran terutama Thailand, tanpa pemeriksaan di pintu sempadan kedua-dua negara.

Perkara itu didedahkan sendiri oleh salah seorang sumber yang sebelum ini aktif menyeludup masuk gajet-gajet dari Thailand untuk dibekalkan kepada peniaga di ibu negara.

“Setiap kali kami ke Danok dan kawasan sekitarnya di Thailand melalui Bukit Kayu Hitam, tiada sebarang pemeriksaan dilakukan walaupun untuk dicop pasport sekalipun.

“Pembayaran dibuat secara tunai dengan mereka yang sudah sedia menunggu sebelum memunggah kesemua komputer riba dan telefon pintar dengan nilai transaksi lebih RM200,000 setiap kali urusan,” akuinya kepada Mingguan Malaysia, baru-baru ini.

Sumber berkata, pada awalnya, dia hanya mengetahui kegiatan tersebut apabila mula menjadi rakan kongsi warga Pakistan yang terlebih dahulu melakukan kegiatan itu sejak beberapa tahun lalu.

Menurutnya, segala urusan berkaitan penguat kuasa di sempadan telah diatur oleh pihak tertentu bagi memudahkan perjalanan membawa ma­suk barangan tersebut.

Walau bagaimanapun, dia tidak mengetahui siapa sebenarnya dalang besar kegiatan tersebut namun apa yang pasti kebanyakan mereka yang terlibat adalah terdiri daripada kumpulan peniaga warga asing.

“Sebanyak 200 buah komputer riba dan lebih 100 telefon pintar dibawa masuk setiap kali urus niaga, paling kurang sebulan sekali sebelum diedarkan kepada penjual di sekitar Kuala Lumpur,” jelasnya,

Sumber itu berkata, selepas barangan tersebut dibawa ma­suk, senarainya akan diedarkan kepada para peniaga menerusi aplikasi Whastapp yang turut menyenaraikan jenis-jenis barangan yang ada.

Katanya, barangan tersebut kemudian dijual sehingga 50 peratus lebih murah berbanding harga pasaran.

“Kebiasaannya, komputer spe­sifikasi tinggi kebanyakan­nya diedarkan oleh warga Afri­ka, warga tempatan akan lebih kepada telefon pintar bagi membolehkan ia diedar secara meluas,” katanya.

Tambahnya, barangan daripada pengedar sah sudah mempunyai penetapan harga pasaran dan juga harga kepada penjual berbanding dengan barangan seludup yang mempunyai jurang keuntungan lebih besar.

“Sebab itu jangan terkejut pusat gajet terkenal di ibu kota dibanjiri peniaga warga asing yang mampu membayar sewa hanya bersaiz sudut kedai dengan harga RM20,000 sebulan. Ini kerana keuntungan jual gajet seludup berlipat ganda,” jelasnya.