Panglima Enam Briged, Brig. Jen. Datuk Abdul Aziz Ismail berkata, kegiatan itu disedari oleh pasukan 4 Rejimen Sempadan (4RS) yang bertembung dengan penyeludup terbabit dalam dua kes berasingan di kawasan operasi sama.

Menurutnya, dalam kejadian pertama kira-kira pukul 7 pagi, pasukan itu terserempak dengan empat lelaki yang menunggang motosikal sambil membawa muatan lapan buah guni dan dua plastik lutsinar mengandungi 296kg daun ketum bernilai lebih RM28,000.

“Empat lelaki yang masing-masing menunggang motosikal itu kemudian bertindak mencampak kesemua guni terbabit dan meninggalkan motosikal sebelum melarikan diri ke hutan berhampiran.

“Kesemua mereka dipercayai warga tempatan yang menunggang motosikal tanpa nombor pendaftaran itu, disyaki mahu menyeludup daun ketum ke negara jiran berikutan permintaan dan harga yang tinggi di sana,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Tambah Abdul Aziz, kira-kira pukul 3 petang pula, seorang lagi lelaki turut mencampakkan tiga guni daun ketum seberat 32kg bernilai lebih RM3,000 sebelum melarikan diri selepas terserempak dengan pasukan rondaan berkenaan.

Katanya, lelaki terbabit yang turut menunggang motosikal juga dipercayai orang tempatan.

“Kesemua suspek yang melarikan diri itu dianggarkan berusia antara 25 hingga 30 tahun. Kita percaya penyeludup menunggu hari dan masa yang sesuai untuk melakukan penyeludupan dan menyangka anggota keselamatan bercuti pada semalam (Ahad).

“Namun, anggota ATM komited melaksanakan rondaan 24 jam setiap sehari bagi mengekang kejadian penyeludupan di sempadan,” katanya.

Kesemua daun ketum yang dianggarkan bernilai kira-kira RM31,000 dan motosikal yang dirampas kemudian dibawa ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Padang Terap untuk tindakan lanjut. - UTUSAN ONLINE