Dalam serbuan bermula kira-kira pukul 11.30 pagi itu pelbagai jenis arak serta rokok seludup bernilai RM408,715 dirampas.

Pegawai Pemerintah Batalion ke-12 PGA Miri, Superintenden Tan Hiap Seng berkata, turut dirampas iaitu dua buah lori yang menggunakan nombor plat pendaftaran palsu bernilai RM200,000 menjadikan nilai keseluruhan rampasan termasuk arak serta rokok berjumlah RM608,715.

Jelasnya, mereka yang ditahan iaitu penjaga premis kedai berumur 27 tahun dengan dua pekerja berusia 16 dan 14 tahun yang disiasat di bawah Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

“Antara barangan dirampas ialah 910 karton rokok, 1,186 kotak yang mengandungi minuman keras dan 125 botol arak.

“Kesemua barangan dirampas di lokasi yang sama iaitu di sekitar Taman Tunku Miri dengan lokasi serbuan pertama di sebuah premis kedai diikuti dua lori yang terletak berhampiran dengan premis kedai tersebut dan sebuah kawasan perumahan,” katanya.-BERNAMA