Timbalan Pengarah Operasi APMM Daerah Maritim 2 Pulau Pinang, Hamizan Harun berkata bot itu, yang dinaiki seorang 'master' dan lima kru warga Indonesia, ditahan kira-kira 12.30 tengah malam tadi.

"Bot peronda APMM yang melakukan pemantauan di sekitar perairan Pulau Pinang mengesan sebuah bot 'barter trade' sedang beroperasi membawa 20 guni (lebih kurang 1,200 kotak) barangan kosmetik berbagai jenama.

"Hasil pemeriksaan lanjut mendapati bot tersebut disyaki cuba membawa keluar barang kosmetik yang tidak diisytiharkan mengikut Akta Kastam 1967 dan Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984," katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata, semua barangan itu dipercayai cuba diseludup ke negara jiran dan pihaknya menahan semua warga Indonesia berusia 30 hingga 45 tahun berkenaan bagi membantu siasatan.

Sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut boleh disalurkan melalui talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi APMM Pulau Pinang di talian 04-2626146, katanya. - BERNAMA