Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, ketiga- tiga pemancing itu diburu berdasarkan laporan polis oleh syarikat Two-B Machineries Sdn. Bhd. di Balai Polis Bestari Jaya dekat sini, semalam mengatakan pontoon di kawasan pengorekan pasir disabotaj.

Menurut Noor Azam, berdasarkan laporan polis yang dibuat pekerja syarikat tersebut, mereka telah terserempak dengan tiga pemancing itu yang diarah supaya keluar, namun mereka enggan berbuat demikian.

“Namun, setelah diarahkan sekali lagi oleh pekerja pontoon tersebut, mereka telah keluar tetapi dipercayai telah melakukan sabotaj dengan mencabut klip pada dua tong di pontoon berkenaan yang mengakibatkan minyak diesel kira-kira 100 liter tumpah.

“Kita sedang menyiasat perkara tersebut bersama dengan Air Selangor bagi mengetahui sama ada ia disabotaj atau berpunca daripada kecuaian. Berdasarkan pemantauan kita, kawasan sekeliling tidak berpagar dan ia kawasan aliran sungai,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Dalam pada itu, Noor Azam menjelaskan, pihaknya kini sedang mengesan ketiga-tiga individu terbabit termasuk motosikal dinaiki kesemua pemancing tersebut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 430 Kanun Keseksaan iaitu pengkhianatan dengan merosakkan kerja-kerja pengairan atau secara salah menyimpang aliran air,” ujarnya. – UTUSAN ONLINE