Lelaki berusia 26 tahun itu menjadikan pekerja asing dari Nepal, Bangladesh dan Myanmar yang berjalan kaki dan berbasikal sebagai sasaran dengan menggunakan senjata tajam antara pukul 6.30 hingga 8.30 pagi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab. Hamid berkata, dia yang menaiki motosikal jenis Honda EX5 juga bertindak menyamun telefon bimbit dan barangan peribadi mangsa seperti kad pekerja dan kad bank.

Menurutnya, pihak polis menerima sembilan laporan polis daripada mangsa yang mengalami kecederaan antaranya di belakang badan, patah tangan, luka di tangan dan muka serta pinggang.

"Dia ditahan selepas pihak polis terserempak dengannya yang menunggang motosikal dalam keadaan mencurigakan pada pukul 8.40 pagi dan polis mengekorinya sehingga belakang Medan Selera Rasa Mutiara sebelum menahannya.

"Dia yang berada dalam keadaan khayal mengaku melakukan perbuatan itu kerana berdendam dengan warga asing yang sering mengganggu adik perempuannya ketika bekerja di kawasan perindustrian itu," katanya katanya ketika dihubungi, di sini hari ini.

Tambahnya, hasil semakan ke atas laporan polis yang diterima di Bukit Minyak, Sungai Bakap dan Nibong Tebal, suspek dipercayai terlibat dengan 15 kes samun dan mendatangkan kecederaan dan dia kini ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 324 dan 394 Kanun Keseksaan. - UTUSAN ONLINE