Kejadian berlaku kira-kira pukul 12 tengah malam ketika anggota penguat kuasa itu hendak membawa suspek berusia 33 tahun itu yang bekerja sebagai nelayan.

Walau bagaimanapun seorang abang suspek berusia 40 tahun dan adiknya berusia 20-an yang tidak berpuas hati membuat kecoh dan memanggil penduduk kampung untuk menyerang anggota dan pegawai polis terbabit dengan batu serta kayu.

Berikutan itu, kenderaan polis yang membawa suspek tersebut telah mengalami kerosakan di bahagian lampu tepi.

Semasa suspek hendak dibawa ke Balai Polis Kuala Perlis, enam lelaki mengekori kenderaan polis dengan tiga buah motosikal dan menceroboh kawasan balai sebelum kesemuanya diberkas.

Hasil ujian air kencing mendapati suspek yang dikehendaki, abangnya dan seorang lagi lelaki positif dadah.

Polis turut merampas sejumlah batu dan kayu yang digunakan dalam kejadian berkenaan.

Timbalan Ketua Polis daerah, Deputi Superintenden Zaini Talib ketika dihubungi mengesahkan penahanan kesemua suspek.

"Kesemua mereka yang jumlahnya seramai tujuh orang direman sehingga 21 Februari ini. Kesemuanya akan didakwa kerana melakukan antara enam hingga tujuh kesalahan termasuk menghalang penjawat awam melakukan tugasan, menceroboh kawasan balai dan cubaan menyerang anggota polis," katanya. - UTUSAN ONLINE