Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintenden Nor Azmi Isa berkata, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 12.30 tengah malam apabila sepasukan anggotanya cuba menahan suspek yang merupakan individu kehendaki polis sejak setahun lalu. 


Malah katanya, suspek berusia 26 tahun itu mempunyai dua rekod jenayah lampau atas kesalahan di bawah Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952. 


“Menyedari kehadiran polis, suspek terkejut dan cuba melarikan diri dengan sebuah motosikal sebelum merempuh salah seorang anggota kita. 


“Bagaimanapun, anggota kita telah menerima rawatan pesakit luar di Hospital Tengku Ampuan Jemaah (HTAJ) di sini pada hari yang sama kejadian itu berlaku,” katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam di sini hari ini. 


Tambah Nor Azmi, suspek yang merupakan warga tempatan dan bekerja sebagai buruh itu berjaya ditahan manakala hasil pemeriksaan pihaknya telah merampas 11 peket plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis heroin seberat 16.32 gram bernilai kira-kira RM490. 


Pada masa sama, pihaknya turut menemukan tiga lagi peket plastik lutsinar disyaki mengandungi dadah jenis syabu seberat 1.92 gram bernilai kira-kira RM200 serta sebiji pil Erimin 5 bernilai RM15 yang dilipat dalam kertas aluminium.


“Malah ujian air kencing ke atas suspek turut mendapati dia positif dadah jenis morfin. Kita percaya kesemua dadah yang dirampas adalah untuk dijual di pasaran tempatan,” katanya yang turut memaklumkan suspek telah ditahan reman selama enam hari bermula tarikh dia ditangkap. 


Kes itu katanya disiasat di bawah Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) di bawah ADB 1952. 


Selain itu, suspek juga berhadapan tiga pertuduhan lain di bawah Seksyen 39B ADB 1952, yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan. - UTUSAN ONLINE.