Hakim Che Noralashiken Abd. Razak memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie terhadap lelaki berusia 22 tahun itu pada akhir kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan pindaan, tertuduh didakwa mencabul ibunya di sebuah kampung dekat sini pada pukul 7 malam, 8 Mac 2017 iaitu ke­salahan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Ra­ya, Safiyatun Ahmadun manakala tertuduh diwakili peguam bela daripada Yayasan Bantuan Guaman Malaysia (YBGM), M. Kathan.

Lelaki itu bagaimanapun me­ngaku tidak bersalah atas pertuduhan pindaan tersebut dan mahkamah menetapkan 19 Oktober ini untuk perbi­caraan di peringkat pembelaan.

Terdahulu, mahkamah da­lam keputusannya mendapati pihak pendakwaan yang memanggil enam saksi untuk memberi keterangan, telah ga­gal membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan asal iaitu merogol mengikut Seksyen 376(3) Kanun Keseksaan sebelum meminda pertuduhan tersebut.

Akhbar pada 9 Mac tahun lalu melaporkan seorang wanita yang merupakan janda anak lima membuat laporan polis selepas mendakwa dirogol anak lelakinya di rumah mereka.

Ketika kejadian, hanya dua beranak itu sahaja berada di rumah dan suspek yang be­kerja di sebuah kilang tayar kemudiannya ditahan untuk siasatan.