Dalam rampasan kira-kira pukul 1 pagi itu, sepasukan anggota Aksem yang mengekori sebuah treler dan lori membawa muatan rokok terbabit berjaya menahan kenderaan berat itu berhampiran sempadan Johor-Melaka.

Walau bagaimanapun, dua lelaki yang memandu kedua-dua kenderaan itu sempat melarikan diri dengan bantuan individu dipercayai tonto yang menaiki sebuah kereta setelah menyedari kehadiran pihak berkuasa.

Komander Aksem negeri, Abdul Latif Abdul Rahman berkata, treler dan lori terbabit ditinggalkan di tepi jalan dalam keadaan enjinnya yang masih hidup.

SEBAHAGIAN rokok putih belum lulus kastam yang dirampas Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) pad

SEBAHAGIAN rokok putih belum lulus kastam yang dirampas Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) pada sidang akhbar di Kompleks Kementerian Dalam Negeri (KDN) Alor Setar di Kedah, hari ini. - UTUSAN ONLINE/Fariz Rusadio

“Pemeriksaan mendapati, sebuah treler membawa kira-kira 700 kotak berisi rokok putih, manakala lori tersebut pula mengangkut 300 kotak mengandungi barang sama.

“Berdasarkan siasatan, kesemua rokok menggunakan jenama Zon King yang bernilai RM848,800 itu belum lulus kastam dengan cukai tersebut dianggarkan mencecah RM6.92 juta,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah Abdul Latif, pihaknya masih menyiasat dari mana rokok tersebut dibawa masuk namun tidak menolak kemungkinan ia melalui pelabuhan di negeri berkenaan.

“Kita percaya rokok-rokok tersebut bagi pasaran di sekitar Lembah Klang atau Pulau Pinang yang mendapat permintaan tinggi ekoran harganya yang murah.

“Nilai kenderaan yang disita pula sebanyak RM450,000 sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan rampasan kali ini mencecah RM8.2 juta termasuk cukai kastam terhadap barangan rampasan itu,” katanya.

Ujar beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana mengangkut barang yang belum disahkan pihak kastam. - UTUSAN ONLINE