Dalam serbuan kira-kira pukul 10 malam itu, pihak berkuasa tersebut yang diketuai Pegawai Turus Risik Aksem, Inspektor Nik Md. Nazri Nik Sukri turut menahan seorang lelaki berusia 43 tahun yang berada di kediaman tersebut.

Difahamkan barangan itu dibawa masuk dari China, Vietnam dan Thailand untuk pasaran di negara ini khususnya rokok putih yang mendapat permintaan tinggi.

Untuk rekod, pihak Aksem boleh membuat serbuan di mana-mana negeri sekiranya mendapat maklumat berkenaan aktiviti haram tersebut.

Komander Aksem negeri, Deputi Superintenden Syed Basri Syed Ali memberitahu, kejayaan tersebut adalah hasil maklumat orang awam dan risikan pihaknya sebelum ini.

Katanya, selepas mendapat maklumat, pihaknya menyerbu kediaman tersebut dan menemukan sebuah lori berwarna hitam di halaman kediaman berkenaan.

“Hasil pemeriksaan di dalam lori tersebut kita menjumpai sejumlah kotak yang di dalamnya mengandungi rokok dan terdapat juga sejumlah guni yang mengandungi mercun bola.

“Anggaran nilai rokok yang dirampas itu adalah berjumlah RM716,627 manakala mercun bola pula bernilai RM22,000,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Tambah beliau, suspek tersebut diserahkan kepada pihak Kastam untuk tindakan lanjut manakala kes disiasat dibawah Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967.

Sementara itu, beliau berkata, rokok berkenaan mendapat permintaan tinggi daripada rakyat negara ini berikutan barangan seludup itu yang dijual dengan harga murah.

“Difahamkan sekotak rokok terbabit berharga hanya RM4 sehingga RM6,” katanya. - UTUSAN ONLINE