Kejadian berlaku antara 27 September hingga 2 Oktober lalu, namun wanita berusia 53 tahun itu hanya membuat laporan polis, semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Sarawak, Superintenden Mustafa Kamal Ghani Abdullah berkata, berdasarkan laporan diterima, mangsa dikatakan telah berkenalan dengan seorang lelaki kononnya berasal Eropah menerusi laman sosial Facebook.

Jelas beliau, suspek yang menyamar menggunakan Andrew telah berjanji memberikan bungkusan hadiah kepada guru tersebut.

"Namun, mangsa diminta membayar sebanyak RM1,500 bagi mendapatkan bungkusan berkenaan dengan alasan membayar pihak berkuasa supaya barangan tersebut dilepaskan.

"Selepas mangsa mula mempercayai suspek, dia telah memasukkan wang RM1,500 melalui akaun bank diberikan oleh sindiket berkenaan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Mustafa memberitahu, setelah wanita itu memasukkan wang, mangsa sekali lagi dihubungi untuk membuat pembayaran berjumlah RM4,000 untuk mendapatkan hadiah tersebut.

Katanya, mangsa mendakwa meskipun sudah membuat dua transaksi ke dalam akaun bank suspek, namun tiada sebarang hadiah diterima seperti dijanjikan.

"Menyedari diperdayakan lelaki terbabit, mangsa kemudian tampil membuat laporan polis.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan kerana menipu secara samaran," ujarnya. - UTUSAN ONLINE