Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, Lim Lee Jing, 31, menerima panggilan daripada suspek yang memperkenalkan dirinya pegawai dari OCBC Bank.

“Suspek berkenaan memaklumkan mangsa mempunyai hutang tertunggak kad kredit bernilai RM3,649.00. Mangsa menyatakan tidak pernah memiliki kad kredit OCBC Bank, kemudian pegawai bank tersebut memberikan nombor kad 5120918862888119 (OCBC Master Card) hutang bernilai RM4,270.

“Suspek meminta mangsa memberikan nombor kad pengeluaran wang automatik (ATM) yang lain. Mangsa menyatakan ada empat akaun bank yang masih aktif iaitu CIMB, Maybank, Public Bank dan Ambank,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd. Wazir berkata, suspek meminta mangsa menutup akaun bank yang lain kerana menurutnya ada orang menggunakan namanya untuk membuat kad kredit tersebut.

Menurutnya, suspek telah meminta mangaa mengikut cara-cara yang diajar untuk menutup kesemua akaun bank miliknya.

“Mangsa telah ke CIMB Bank dan mengikut segala arahan dari suspek. Kemudian mangsa ke Maybank, Public Bank dan terakhir Ambank. Di sana baharu mangsa sedar wang miliknya telah tiada dalam akaun.

“Setelah membuat semakan dengan pihak bank dapati transaksi pemindahan wang yang telah dilakukan oleh pengadu adalah sebanyak, CIMB RM7,998.95, Maybank sebanyak RM10,998.95 Public Bank 29,998.95 dan Ambank 19,998.95. Kesemua wang tersebut dipindahkan ke akaun Ambank CIMB Bank milik suspek.

“Mangsa terus membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cameron Highlands kerana berasa yang dirinya ditipu dan mengalami kerugian sebanyak RM68,995.80,” katanya. - UTUSAN ONLINE