KUANTAN 30 Ogos - Seorang ahli perniagaan kerugian sebanyak RM490,000 sejak 2013 akibat diperdaya individu bergelar Datuk dengan menawarkan penjualan tanah bagi projek penternakan yang tidak wujud.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintenden Mohd. Wazir Mohd. Yusof berkata, pada awalnya, lelaki berusia 50 tahun itu dijemput suspek untuk menandatangani surat akuan dan ditunjukkan dokumen permohonan tanah kerajaan bagi ternakan udang di Sungai Buah Beras, Pontian, Rompin dekat sini pada 20 Oktober 2013.
“Suspek meminta mangsa membuat bayaran sebanyak RM300,000 dan berjanji untuk memulangkan wang berkenaan jika permohonan gagal.
“Sekitar 2014 dan 2015, mangsa difahamkan tanah berkenaan telah diberikan kepada pihak lain dan suspek sekali lagi menjanjikan gantian dengan meminta wang tambahan sebanyak RM190,000 untuk tanah di Penor di sini,” katanya di sini hari ini.
Menurut Wazir, setelah membuat bayaran tambahan, mangsa cuba menghubungi ‘Datuk’ berkenaan namun gagal menyebabkannya membuat laporan polis semalam. - UTUSAN ONLINE