Mangsa yang enggan namanya dikenali berkata, kejadian itu disedari pada Rabu lalu selepas beliau pulang untuk menjenguk rumahnya yang ditinggalkan kerana urusan perniagaan di Kuala Lumpur sejak dua bulan lalu.

“Rakaman kamera litar tertutup (cctv) di rumah saya mendapati terdapat dua orang suspek berhenti di hadapan rumah sebelum mereka memecah masuk dengan cara memanjat pagar dan mengumpil pintu.

“Berdasarkan susuk badan daripada rakaman itu saya mengenal pasti suspek merupakan bekas pengawal peribadi saya yang telah berhenti kerja tiga bulan lalu,” katanya di sini hari ini.

Ahli perniagaan itu berkata, kereta jenis Porsche di garaj rumah turut dirosakkan selepas dipercayai cuba dilarikan tetapi gagal.

Selain itu katanya, beberapa barangan berharga miliknya turut dilarikan termasuk sebuah telefon bimbit dan 15 utas jam berjenama.

Menurutnya, isterinya telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu pada Khamis lalu di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) di sini.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali yang mengesahkan kejadian itu berkata, seorang lelaki berusia 18 tahun ditahan semalam bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.

“Polis sedang mengesan seorang lagi suspek yang dipercayai bekas pengawal peribadi datuk berkenaan,” ujarnya. - UTUSAN ONLINE