Serbuan di kawasan rumah setinggan itu dilakukan oleh 17 anggota Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) negeri dengan kerjasama Agensi Kawalan Sempadan Malaysia (Aksem) kira-kira pukul 5 pagi.

Dalam serbuan tersebut, seramai 13 orang nelayan berumur dalam lingkungan 21 sehingga 40 tahun itu berjaya ditahan meskipun terdapat dalam kalangan mereka cuba melarikan diri dengan terjun ke dalam laut dan bersembunyi di bawah rumah.

Pengarah AADK negeri, Azizah Ahmad berkata, hasil ujian saringan air kencing didapati kesemua mereka yang ditahan positif dadah jenis opiat dan methamphetamine.

Katanya, selain menjadikan kawasan bawah rumah sebagai tempat melepaskan gian menghisap dadah, mereka juga sering melakukan perbuatan tidak bertanggungjawab itu di kawasan pelantar dan di dalam bot di perkampungan nelayan berkenaan.

“Kesemua 13 orang yang ditahan itu akan direman selama 14 hari di Pusat Tahanan Reman Kampung Selamat, Pulau Pinang.

“Rata-rata mereka ini terdiri daripada penagih baru dan penagih berulang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.- UTUSAN ONLINE