Pengarah Maritim Malaysia Negeri Terengganu, Kapten Maritim Muhammad Suffi Mohd. Ramli berkata, kesemua nelayan Vietnam itu ditahan kira-kira pukul 3.45 petang, lebih kurang 24 batu nautika dari pantai Paka, Dungun berserta hasil rampasan bernilai RM1 juta.

Menurutnya, bot dan nelayan asing itu ditahan oleh bot peronda Maritim Malaysia dalam Op Iman dan Op SAR di sekitar perairan Kemaman ketika nelayan Vietnam terbabit sedang melakukan aktiviti menangkap ikan di perairan itu.

“Hasil pemeriksaan mendapati bot itu tidak memiliki sebarang dokumen atau permit kebenaran yang sah daripada Jabatan Perikanan Malaysia dan gagal mempamerkan permit kerja yang sah dari Jabatan Imigresen.

“Dianggarkan sebanyak 200 kilogram hasil laut seperti ikan dan sotong ditemukan di dalam bot terbabit,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Jelasnya, bot berserta awak-awak kemudian dibawa ke Jeti Zon Maritim Kemaman untuk siasatan lanjut dan kes itu disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 yang memperuntukan denda tidak melebihi RM1 juta bagi pemilik dan tekong dan tidak melebihi RM100,000 bagi nelayan atau penjara tidak melebihi dua tahun jika sabit kesalahan.

Beliau yang memandang serius aktiviti pencerobohan nelayan asing sehingga menjejaskan pendapatan nelayan tempatan, berkata, Maritim Negeri Terengganu akan mempertingkatkan lagi rondaan dan kawalan di Zon Maritim Malaysia bagi memastikan perairan negara sentiasa selamat dan terpelihara.

Sementara itu, sembilan nelayan warga Vietnam itu dibawa ke Mahkamah Seksyen / Majistret Kemaman pukul 9.30 pagi ini bagi mendapatkan perintah tahanan reman.

Penolong Pendaftar Mahkamah, Masni Hajar Ghazali membenarkan nelayan warga Vietnam itu ditahan reman selama 15 hari bermula hari ini hingga 7 Mei depan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta perikanan 1985. - UTUSAN ONLINE