Demikian kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed.

Menurut beliau, pihaknya tidak akan mendedahkan apa-apa maklumat berhubung siasatan termasuk pelaku atau dalang video tersebut.

“Kita telah menerima laporan daripada pihak siber sekuriti namun tidak akan mendedahkan butiran siasatan.

“Laporan hasil siasatan akan diserahkan kepada pejabat Peguam Negara (AG) untuk tindakan lanjut,” katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Kempen Kesedaran Awam Kecurian Kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) VTREC 2019 di Nu Sentral di sini hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Pengarah (Penguatkuasa dan Pematuhan) Kastam Diraja Malaysia (KDRM), Datuk Azimah Abd. Hamid dan Penasihat Kanan VTREC, Mohd. Yusof Idris.

Dalam pada itu, Huzir berkata, pihaknya sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk menyoal siasat enam suspek yang ditahan reman selama enam hari berhubung video tersebut.

Jelasnya, tangkapan lain akan dilakukan sekiranya pihak polis mendapat maklumat baharu.

“Tangkapan baru dilakukan semalam, berilah kita masa untuk siasat dahulu,” katanya.

Ketika ditanya mengenai dakwaan terdapat satu lokasi dipercayai dijadikan markas enam individu yang ditahan bagi membincangkan untuk menyebarkan video seks tersebut, Huzir memaklumkan pihaknya tidak mendapat sebarang maklumat berhubung perkara tersebut.- UTUSAN ONLINE